facebooktwitteryoutube
Utama Profil
in Aku dan Kehidupan - 15 Jul, 2013
by Qisan - no comments
Ramadhan datang lagi – Berbuka dengan air hujan

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan. Terlalu banyak kenangan yang masih segar diingatan tatkala dibulan Ramadhan, samada sewaktu kecil hinggalah ke saat ini. Antara cerita yang paling tidak dapat aku lupakan adalah berbuka puasa dengan air hujan. Bukan sengaja tapi terpaksa. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1991 ketika aku menjalani latihan amali (Praktikal) di Jabatan Perancangan Bandar, MPKuantan.

Satu ‘weekend’, aku merancang nak ke kampus aku di ITM Shah Alam. Saja nak jumpa rakan-rakan yang ada di situ. Aku telah membeli tiket bas pada jam 12.30 tengahari dari Terminal Bas Benteng, Kuantan.

Ketika membayar tiket bas, aku dapati duit yg ada dalam poket ngam-ngam untuk membayar harga tambang… tak ingat berapa. Terdetik didalam hati, takpelah nanti dah sampai Puduraya, aku akan keluarkan sedikit dari ATM GIRO ( Mesin ATM ada di dalam Puduraya dan juga di kawasan KFC di luar Puduraya).

Ketika masih bergelar pelajar, selalunya duit poket tak berapa nak cukup. Yang ada pun sedikit wang simpanan di dalam GIRO BSN.

Dengan perjalanan hampir 6 jam dari Kuantan, aku sampai di Puduraya lebih kurang jam 7 malam.

Seperti yang dirancang, tanpa membuang masa aku terus meluru ke mesin ATM yang berada ditengah-tengah bangunan, bersebelahan tangga untuk ke tingkat atas. Tekan punya tekan ‘keypad’, tiba-tiba aku dikejutkan dengan status yang terpancul di ‘monitor’… ‘Transaksi anda tidak dapat diteruskan, sila kemaskini buku akaun simpanan anda’ .. lebih kurang begitu lah ayatnya.

Perrrgghhh… terasa bagaikan bangunan Puduraya ni runtuh menghempap seluruh badan aku …. “Jangan panik”, kata hatiku. Di luar sana ada satu lagi mesin ATM GIRO. Aku bergegas ke sana pula dengan harapan mesin ATM tadi sebenarnya rosak. “Mana ada aku bawa buku simpanan dan kalau ada pun, mana ada bank yang buka lagi”, bentak hatiku.

Sampai di mesin dan sebaik sahaja transaksi dibuat, ayat yang sama juga keluar dari ‘monitor’ mesin tersebut.

Aku dah mulai panik kerana waktu berbuka puasa telah hampir dan aku tidak mempunyai satu sen pun untuk membeli makanan dan minuman, apatah lagi untuk membayar tambang untuk ke Shah Alam.

Aku kembali ke dalam perut Puduraya dan di luar sana, kelihatan hujan mulai turun mencurah-curah.

Azan maghrib telah pun kedengaran ketika aku melewati gerai makanan yang terdapat didalam Puduraya. Ramai yang telah berbuka puasa samada di gerai-gerai, di tempat duduk menunggu bas, di tangga dan sebagainya. Aku?… Masih berfikir apa yang patut aku buat. Adalah perlu meminta belas ihsan dari peniaga gerai, orang ramai yang tidak aku kenali? .. atau bagaimana?. Aku perlukan makanan dan minuman untuk berbuka dan yang paling penting aku perlukan wang untuk membayar tambang ke Shah Alam.

Dalam kesibukan aku berfikir, kaki aku terus mengatur langkah. Aku perlu ke ‘Bus Stand Klang’ sekarang. Kenapa?. Dengan harapan adalah warga ITM yang aku kenali hendak pulang ke kampus.

Dalam perjalanan dari Puduraya ke Bus Stand Klang, aku mengharungi hujan yang tidaklah begitu lebat. Dan disitu lah aku berbuka puasa. Menelan air hujan yang singgah ke bibir aku. Perasaan sedih dan bersyukur terus menguasai fikiran. Inilah dugaan yang terpaksa aku tempuhi kali ini walaupun aku tahu, ini bukanlah kali pertama Allah mendugai aku.

Sebaik saja sampai di Bus Stand Klang, aku terus ke platform 2 yang menempatkan bas Triple Two (222). Satu persatu aku melihat manusia yang menaiki bas tersebut sambil berharap adalah orang yang aku kenal… namun hampa.

Tiba-tiba aku terlihat seraut wajah yang macam pernah ku lihat. Seorang lelaki yang pernah aku nampak di kolej.

Aku terus menghampiri beliau dan bercerita serba sedikit tentang masalah aku. Alhamdulillah, beliau faham dan mempelawa aku naik bas bersamanya.

Fuhhh!!!. Dipendekkan cerita, aku selamat sampai ke kampus ITM Shah Alam, berjumpa rakan-rakan dan selamat kembali ke Kuantan pada keesokan harinya berkat bantuan rakan dan juga kenalan.

Tunggu kisah aku berjalan kaki dari Asia Jaya hingga ke TTDI dibulan ramadhan pada episod yang seterusnya.

 

Share

Leave a Reply